Kunyit merupakan salah satu penyembuh semula jadi yang
hebat. Pokok kunyit boleh dikatakan pokok serba guna, setiap bahagiannya
mempunyai peranan tersendiri. Akar atau
rizom dan daunnya, adalah bahagian pokok kunyit yang digunakan untuk tujuan
perubatan dan penyediaan makanan. Secara umumnya, sebelum bahagian-bahagian ini
digunakan, ia akan direbus dan kemudiannya dikeringkan sebelum diproses menjadi
serbuk. Curcumin, bahan aktif di dalam kunyit memiliki kandungan antioksidan
dan dikatakan amat kuat seperti vitamin C dan E.

Melalui pelbagai kajian juga telah mendapati bahawa kunyit
juga turut mempunyai khasiat ubatan yang dikatakan mampu digunakan untuk
merawat pelbagai masalah kesihatan. Sebagai contoh, kunyit telah digunakan dalam
perubatan Ayurveda dan perubatan Cina sebagai antiradang, bagi merawat masalah
pencernaan dan hati, penyakit kulit, dan juga luka-luka. Bukan itu sahaja,
melalui penyelidikan juga telah mendapati bahawa kunyit juga mampu memberi
khasiat berguna dalam rawatan penyakit daripada kanser sehinggalah kepada
penyakit Alzheimer.
Dalam perubatan Ayurveda, ekstrak rizom(akar) yang telah
dicampurkan dengan air panas digunakan sebagai minuman bagi mengurangkan
masalah keradangan. Dalam perubatan ini juga kunyit dianggap sebagai herba
‘rasayana’. Untuk tujuan ini, kunyit digunakan untuk menghalang proses penuaan.
Negara Jerman telah mengiktiraf kunyit sebagai herba yang
selamat untuk merawat masalah pencernaan. Bukan itu sahaja, dalam perubatan
Yunani juga telah menggunakan kunyit untuk merawat pelbagai masalah kesihatan
seperti demam kuning. Ia juga turut digunakan untuk kegunaan luar bagi merawat
ulser dan keradangan. Kunyit yang telah dipanggang pula digunakan sebagai
ramuan untuk merawat disenteri. Kunyit turut digunakan dalam serbuk atau ubat
gigi.
Selain khasiat yang telah diceritakan ini, kunyit juga
memiliki pelbagai kebaikan lain. Agen antiseptik dan antibakteria semula jadi
dalam kunyit berguna dalam membersihkan luka. Dikatakan jika dicampurkan dengan
kubis bunga, kunyit menunjukkan mampu mencegah kanser prostat dan menghentikan
pembesaran kanser prostat yang wujud.
Dalam kajian yang telah dilakukan terhadap tikus makmal,
dikatakan kunyit mampu mencegah kanser payudara daripada merebak ke organ
paru-paru. Kunyit juga mampu mencegah dan memperlahankan peningkatan penyakit
Alzheimer melalui cara membuang pembinaan plak amylod dalam otak.
Kunyit juga dikatakan mampu mencegah metastates muncul dalam
kebanyakan bentuk kanser yang berbeza. Ia juga disebutkan mampu mengurangkan
risiko leukemia ketika kanak-kanak. Tumbuhan ini turut mampu membantu dalam
metabolisme lemak dan pengawalan berat badan. Dalam perubatan Cina, kunyit
telah lama digunakan dalam rawatan kemurungan.
Bagi masyarakat Melayu kunyit juga diminum sebagai jamu
terutamanya ibu selepas bersalin. Tujuannya untuk mengecutkan rahim dan mencuci
darah. Manakala masyarakat Cina percaya isi kunyit boleh melancarkan peredaran
darah, menghilangkan kesan lebam dan darah beku. Di dalam perubatan Thai kunyit
digunakan untuk merawat bisa patukan ular tedung.
Terdapat penyelidikan yang membuktikan kunyit menguatkan
pundi hempedu, menyekat pembekuan darah yang bahaya, mengurangkan toksin hati,
membantu memetabolismakan lemak dan mempunyai kesan anti merangsang tindakan
dan non-steroidal.